Semasa hendak masuk ke bilik temuduga JANGANLAH gentar. Buatlah
seperti biasa saja. Ucapkan "Selamat Pagi" atau "Selamat Petang"
mengikut pada keadaan waktu. Ini nanti akan memberi perasaan mesra di
antara anda dan penemuduga.
Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga
itu tidak berbuat gerakan dahulu yang ianya hendak berbuat demikian.
Janganlah anda duduk selagi tidak disuruh. Apabila anda disuruh
duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan
badan. Jangan menggelisah.
Jangan anda letakkan barang-barang atau tangan ataupun siku anda di atas meja penemuduga itu.
Jangan anda cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan itu.
Jangan goyang-goyangkan kaki ataupun menggerakkannya di sana sini.
Jangan pula anda cuba hendak membaca surat-surat dan lain-lain kertas di
atas meja penemuduga itu
Biarkan penemuduga itu memulakan temuduga.
Janganlah anda menjawab soalan-soalan dengan tergopoh-gapah.
Sebaliknya jawablah dengan tenang dan jelas serta mudah didengar.
Jawapan yang anda beri itu hendaklah tepat. Jangan bercakap panjang
lebar, dan jangan gunakan bahasa kasar
Apabila bercakap pandanglah ke muka penemuduga itu. Jika ahli-ahli
panel yang menemuduga itu lebih daripada seorang maka arahkan
jawapan-jawapan anda kepada Ketua Panel
Gunakan perkataan seperti Tuan atau Puan pada orang yang tertentu dari masa ke semasa, tetapi janganlah selalu menggunakannya
Jangan menyampuk semasa penemuduga itu sedang bercakap dan jangan sekali-kali berbalah dengannya.
Jangan merokok ataupun mengunyah apa-apa di dalam mulut.
Jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata yang tidak benar semasa dalam temuduga.
Jika anda tidak tahu jawapan yang disoal itu, janganlah cuba hendak
berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja, kerana ini akan melemahkan
peluang anda. Eloklah anda bercakap terus terang yang anda tidak tahu
jawapannya.
Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga anda, persekolahan,
kegemaran dan aktiviti anda. Jangan bercakap melebihi dan yang tidak
sepatutnya.
Jangan berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
Jika anda pernah bekerja dahulu, berilah keterangan dengan ringkas dan tepat berkenaan dengan pekerjaan itu.
Jangan sekali-kali anda cuba hendak mencela bekas majikan anda.
Nyatakan kelayakan dan kelulusan anda yang benar, tetapi janganlah membesar-besarkan perkara itu.
Anda hendaklah mengetahui serba sedikit akan tugas-tugas yang
bersabit dengan pekerjaan itu, masa yang dijangka kena bekerja dan
gajinya yang akan dibayar pada permulaannya.
Bersedialah untuk memberitahu kadar gaji yang anda ingin. Walau
bagaimanapun biarlah penemuduga itu mengemukakan perkara itu terlebih
dahulu.
Jika penemuduga tidak menyatakan tarikh yang sepatutnya anda
mengetahui keputusan temuduga itu, eloklah anda bertanya supaya anda
boleh datang lagi ke pejabatnya untuk mengetahui keputusan itu. Jika ia
bersetuju tanyakan tarikh dan masa yang sesuai baginya.
Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
Ucapkan terima kasih kepada penemuduga kerana memberi peluang kepada anda menyertai temuduga itu.
0 Comments