Tip No. 1 : Kenali Majikan
Kesilapan terbesar yang sering dilakukan oleh calon ialah tidak mengenali siapakah majikan mereka.
Apabila anda datang ke temuduga, penemuduga menganggap anda telah mempunyai maklumat mengenai syarikat tersebut – seperti apa yang dilakukan oleh syarikat itu, apakah fokus utama syarikat itu atau siapakah CEO syarikat tersebut.
Dalam dunia serba moden ini, kebanyakan maklumat mengenai sesebuah syarikat amat mudah diperoleh hanya melalui internet. Anda akan kelihatan malas sekiranya langsung tidak mempunyai pengetahuan mengenai syarikat tersebut. Sebagai seorang calon, anda perlu menunjukkan minat kepada kerja dan organisasi tersebut.
Jadi pastikan anda telah membuat kajian serba sedikit tentang bakal majikan anda. Mudah sahaja, mulakan dengan membaca di laman web mereka ataupun laman sosial media seperti Facebook ataupun LinkedIn.
Tip No. 2 : Elakkan Bertanya Mengenai Gaji
Ketika temuduga, “berapa gaji?” bukanlah soalan pertama yang patut ditanya. Percayala, temuduga tersebut pasti tidak akan berjalan dengan lama. Elakkan juga bertanya mengenai cuti atau bonus sebelum anda berbincang bagaimana anda boleh menyumbang kepada syarikat.
Tip No. 3 : Wajib Datang Awal
Pastikan anda datang awal untuk temuduga tersebut. Sebolehnya, datang 10-15 minit lebih awal. Sekiranya anda datang awal, ini akan memberikan tanggapan bahawa anda seorang yang berdisiplin dan bersemangat.
Lakukan lawatan atau tinjauan beberapa hari sebelum temuduga sekiranya anda tidak biasa dengan tempat temuduga tersebut. Jika anda lewat, anda akan panik dan tidak tenang. Ini akan mengganggu emosi anda ketika temuduga. Selain itu, penemuduga juga akan menganggap anda tidak berdisiplin.
Tip No. 4 : Tanya Soalan Bernas
Di akhir temuduga, penemuduga biasanya memberikan peluang kepada kita untuk bertanyakan soalan. Kebanyakan penemuduga suka akan calon yang aktif dan bertanya soalan yang bernas ketika sesi temuduga.
Anda boleh bertanya soalan seperti “apakah polisi syarikat tentang pembangunan professional yang berterusan?”.
Namun begitu, elakkan daripada bertanya soalan yang tidak wajar seperti “bolehkah saya bawa kucing saya ke pejabat setiap hari?”.
Tip No. 5 : Elakkan Membawa Orang Lain Yang Tidak Berkaitan
Jangan berkeras untuk membawa ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tidak berkaitan ke dalam bilik temuduga. Tidak menjadi masalah sekiranya anda meminta ahli keluarga atau kenalan anda menghantar ke tempat temuduga, tetapi minta mereka tunggu di luar.
Anda mungkin secara tidak sengaja menghantar mesej bahawa anda masih lagi budak dan tidak berdikari sekiranya anda memberitahu penemuduga “mak saya tengah tunggu di luar”.
Tip No.6 : Pakaian Yang Bersesuaian
Pakaian antara perkara yang perlu dititikberatkan ketika hadir ke temuduga. Pakai pakaian yang bersesuaian dan tidak mencolok mata.
Dengan membuat kajian ke atas syarikat tersebut, anda dapat mempelajari mengenai budaya kerja syarikat tersebut dan memakai pakaian yang sesuai.
Tip No.7 : Jaga Imej
Tunjuk imej yang baik di hadapan penemuduga. Jangan kutuk universiti anda, pensyarah, majikan anda sebelum ini atau sesiapa sahaja. Tunjukkan diri anda yang professional dan bertamadun. Anda hanya menjatuhkan imej anda dan meninggalkan tanggapan yang tidak baik apabila anda kutuk mengenai sesuatu.
Tip No. 8 : Ucapkan Terima Kasih
Jangan lokek untuk mengucapkan terima kasih. Berterima kasihlah kepada penemuduga pada akhir temuduga. Berterima kasih juga kepada para pekerja lain di syarikat tersebut apabila anda beransur keluar.
Jangan tersinggung sekiranya penemuduga kasar atau kurang ajar dengan anda kerana kadangkala penemuduga hanya ingin menguji dan ingin melihat perangai anda. Cuba berbaik dengan semua orang.
Tip No. 9 : Ceritakan Kelebihan Diri Sendiri
Kebanyakan penemuduga akan meminta kita untuk menceritakan mengenai diri sendiri. Anda harus bersedia untuk soalan ini. Ceritakan fakta yang menunjukkan kekuatan, kelebihan dan juga kelayakan anda untuk mendapatkan jawatan tersebut. Bersikap jujur, jangan pula menipu diri sendiri!
Tip No. 10 : Elakkan Daripada Merayu-rayu
Elakkan daripada anda merayu-rayu untuk mendapatkan kerja tersebut. Tunjukkan anda memang berminat dan mempunyai kelayakan untuk mendapatkan kerja tersebut.
kredit sifukerjaya



0 Comments